KUALA LUMPUR: Lebih tiga juta tan karbon dioksida setara (CO2e) berjaya dikurangkan tahun lepas, menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C), kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif berkenaan adalah sebanyak 45,195.22 tan karbon dioksida (CO2) bersamaan penanaman 76,889,807 juta batang pokok atau pengurangan penggunaan sebanyak 665,765 buah kereta setahun di jalan raya.

"Penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam program LCC2030C penting kerana inisiatif ini mengukur kadar pelepasan gas rumah kaca di bawah lima elemen utama iaitu tenaga, air, sisa, pengangkutan dan kehijauan atau penyerapan karbon.

"Kerajaan berharap menjelang 2030, Malaysia akan mencapai sasaran mewujudkan 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon di semua 155 PBT di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 di sini malam tadi.

Nik Nazmi berkata negara juga perlu terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim di pelbagai peringkat.

"Misalnya di peringkat global, Malaysia telah terlibat secara aktif dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini yang menyaksikan penyertaan terbesar delegasi Malaysia dalam sejarah.

"Malaysia komited mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030 dan menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya pada 2050," katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor.

Terdahulu, pengiktirafan bandar rendah karbon pada 2023 melibatkan 85 Pengiktirafan Diamond bagi pencapaian pengurangan pelepasan karbon dalam lima elemen utama iaitu tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan.

Di samping itu, terdapat dua pengiktirafan Reka Bentuk Diamond yang berpotensi mengurangkan kadar pelepasan GHG melalui pelaksanaan strategi bandar rendah karbon di peringkat reka bentuk.

Selain itu, penganugerahan 15 Sijil Provisional turut diberikan atas usaha pembangunan data penanda aras dan pelan tindakan rendah karbon dalam kawasan zon dan rakan kongsi rendah karbon serta empat Anugerah Khas.

-- BERNAMA